Allahuakbar, Tuhan yang memberikan kita rezeki di dunia, La Ilahailallah!
Jemaah haji dah pun mula pulang ke tanah air, saat ini, membawa seribu perubahan dalam diri, timbul juga kelegaan hati serta terbit rasa kesyukuran dalam sanubari kerana berjaya melengkapkan Rukun Iman ke-5 (menunaikan Haji).
Bukan semua dipilih untuk menjejakkan kaki ke sana,
bukan semua termasuk dalam senarai tetamu Allah kali ini,
hanya yang tertentu saja.
Haji, satu ibadah yang mempamerkan pelbagai bentuk perlambangan. Pertama, isu sama rata, sama darjat. Maklumlah, ketika menunaikan haji, semua memakai pakaian yang sama, warna yang sama, tempat tidur yang sama, tiada kelebihan buat mana-mana pihak. Segala pangkat duniawi, diketepikan di sini. Semuanya hamba, HAMBA ALLAH!
Haji, lambang pengorbanan. Bukan mudah untuk menunaikan ibadah yang satu ini. Banyak hal yang perlu diuruskan sebelum serta semasa menunaikan haji. Sebelum pergi, kena menyiapkan wang untuk membayar kos haji. Bukan murah! Selepas itu, menyiapkan kelengkapan untuk ahli keluarga atau tanggungan yang tinggal, misalnya anak-anak. Makan pakai mereka perlu diserahkan kepada orang yang bertanggungjawab mengganti kita menggalas tugas sebagai “penjaga”. Dengan rasa tawakal kepada Allah, terpaksa meninggalkan ahli keluarga serta sanak saudara yang sangat dikasihi, selepas Allah dan Rasulnya.
Rezeki kita masing-masing. Kini, menunaikan haji pada usia yang masih muda bukanlah satu fenomena baru dalam kalangan masyarakat kita. Alhamdulillah, Allah mengurniakan rezeki serta kekuatan buat mereka yang berpeluang menunaikan haji di usia muda. Dengal fizikal yang masih baik, jasmani yang masih kuat. Golongan ini seharusnya lebih bertenaga, bersemangat dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah yang satu ini.
Mungkin ketika di Raudhah, mereka akan mendoakan jodoh yang terbaik buat diri mereka sendiri. Kalau sebelum ni, kita hanya ‘menumpang doa’ melalui mereka yang menunaikan haji untuk mendoakan diri dan ahli keluarga kita. Tetapi golongan terpilih ini mempunyai satu ‘bonus’, berdoa di tempat-tempat yang mustajab doa. AllahuAkbar!
Buat yang masih muda, selain menabung buat simpanan perkahwinan dan meminang anak dara orang, jom kita sama-sama simpan duit juga untuk menjadi tetamu Allah pada musim-musim haji yang akan datang! Jom kita jaga kesihatan mulai sekarang! Jom kita melengkapkan diri kita dengan ibadah-ibadah sunat seperti yang dianjurkan!
Moga kita berpeluang melihat Kaabah, kiblat seluruh umat manusia! InsyaAllah, Amin Ya Rabbi,





No comments:
Post a Comment