Wahai adikku, walau apa perkara yang menimpa diri kita ini, berSABARlah. Moga, dengan kesabaran yang kita letakkan akan menjadi kebaikan kerana kita menggandingkan ujian tersebut dengan sikap yang mahmudah lagi positif.
Saya faham, ketika ‘ditimpa’ ujian ini, terasa berat bahu yang memikul bebanan masalah tersebut. Lihatlah sekeliling, bandingkan diri kita dengan orang lain yang sesungguhnya, mereka jelas memikul beban ujian yang jauh lebih dahsyat.
Bayangkan kanak-kanak Afghanistan atau Iraq yang sedang menangis, merayu untuk sebuku roti, untuk diberikan kepada adiknya yang masih kecil, yang telah digelar ‘yatim piatu’ setelah jatuhan bom serta peluru berpandu di kawasan mereka.
Bayangkan seorang tua yang mengayuh beca tuanya demi mencari sesuap nasi, untuk mencari pendapatan halal, membiayai bil rawatan anaknya yang menghidap penyakit kronik di samping keluarga tercintanya yang dibelenggu kemiskinan.
Allahuakbar, mampukah kita mendukung ujian itu jika kita ditempat mereka? Tepuk dada, muhasabah diri.
Ujian?? Apa perlunya ujian?
Ujian merupakan ekspresi cinta Allah kepada hambaNya yang TERPILIH SAHAJA. Mengapa? Allah ingin melihat kita lebih berjaya di dunia, lebih matang dan dewasa dalam pemikiran, dan lebih tabah mengharungi badai kehidupan. Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang lebih baik, maka dia akan diberi cubaanNya.” (Hadith Riwayat Bukhari). SubhanAllah! Allahuakbar! Kita sepatutnya husnusdzhon dengan perancangan Allah. Allah ingin melihat kita di syurga, kerana itulah kita diuji. Jika bayaran untuk sebuah rumah kini kira-kira RM 500k, maka bayaran yang ‘dikenakan’ untuk memiliki jannahnya ialah dengan ujian serta amal ibadah kepadaNya.
Astaghfirullah, Ya Rabbi, kami telah tersalah anggapan dengan aturanMu. Ampuni kami..
Astaghfirullah, Ya Rabbi, kami telah tersalah anggapan dengan aturanMu. Ampuni kami..
Yakinlah bahawa dengan adanya ujian, kita akan memperoleh ganjaran hebat~ atau Mega Sale! Makin besar atau makin banyak ujian, makin banyak ganjaran pahala yang dihadiahkan oleh Allah buat hambaNya.
Anas r.a. berkata, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung kepada besarnya cubaan. Sesungguhnya apabila Allah s.w.t mencintai sesuatu kaum, maka dia mengujinya. Barang siapa yang rela menerimanya, dia akan mendapat keredhaan Allah, dan barangsiapa yang murka, maka dia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Hadith Riwayat Tarmidzi)
Seterusnya yakinlah bahawa ujian itu salah satu item penghapusan dosa yang pernah kita khilaf. Abu Said dan Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan serta kerisauan, bahkan dirinya hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Adik-adik yang dilimpahi kasih Allah sentiasa, positiflah! Optimislah! bahawa apa yang menimpa kita akan bercambah menjadi satu perkara kebaikan, InsyaAllah. Abu Yahya Syuhaib bin Sinan r.a. berkata bahawa Rasulullah bersabda ; “sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.” (Hadith Riwayat Muslim)
Mujahid dan mujahidah semua, percayalah bahawa setiap jalan mempunyai pintu keluarnya. Setiap kesusahan, masalah atau kesulitan pasti disertakan dengan pakej penyelesaiannya. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”, (94 : 5-6). Percaya juga kepada diri sendiri, bahawa kita MAMPU menyelesaikan masalah ini. Allah tidak akan membebani hambaNya melainkan sesuai dengan hambaNya itu. “Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya” (2 : 286)
Bersemukalah kalian dengan masalah bersama-sama dengan doa serta usaha. Cari cara menyelesaikan masalah. “Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan), maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmu hendaklah kamu berharap” (94:7-8)
“Berdoalah kepadaku, nescaya akan aku kabulkan doamu” (40:60)
Apa yang perlu kita buat???
- · senyum, tak perlu kata apa-apa.
- · Allah akan mengurniakan kita sesuatu yang lebih baik.
- · Apa yang Allah sebabkan kita menangis, kerana Allah ingin lihat kita ketawa di akhirat kelak.
- · Allah turunkan ujian kerana sayangkan kita ! :)